BIARPUN dihimpit ujian demi ujian dalam hidupnya, Marini Abd Rashid pantang mengalah dan sebolehnya enggan menyalahkan takdir semata-mata.
Melahirkan anak kembar yang kurang upaya, diceraikan suami, kematian ibu dan bapa nyata membuatkan hidup wanita berusia 35 tahun ini dipenuhi kisah duka, namun Marini cekal mengharunginya malah menyifatkan semua peristiwa itu sebagai kurniaan Tuhan.
Semuanya bermula selepas melahirkan anak kembar lelaki, Muhammad Nasrullah Norsaifullizan dan Muhammad Fakh rullah Norsaifullizan, lapan tahun lalu.
Susulan keadaan bayinya yang pramatang dengan potensi hidup 50-50, Marini berulang-alik dari rumah ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berikutan ke dua-duanya perlu menerima rawatan rapi.
Dalam tempoh itu, bapa kepada bayi itu hanya tiga kali menjenguk sebelum hilang meninggalkan keluarga.
Pada masa sama, doktor mengesahkan kembar pertamanya, Nasrullah, mengalami masalah cerebral palsy yang meng ganggu pergerakan otot serta urat saraf di kaki dan tangannya. Fakhrullah pula berdepan masalah kecerdasan otak.
Sejurus sah bercerai fasakh pada awal 2004, Marini mem bawa Nasrullah dan Fakhrullah serta anak sulungnya, Mu hammad Safwan Norsaifullizan, kini 13 tahun, menumpang hidup bersama bapa dan ibunya di kuarters Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Brickfields.
Namun, panas yang diharapkan hingga ke petang tidak kesampaian apabila ibu yang sentiasa menjadi tunjang se mangatnya meninggal dunia pada Jun 2004.
“Waktu itu saya seperti hilang semua perasaan. Jiwa saya kosong. Sudahlah diceraikan suami, membesarkan anak sendirian dan kemudian kehilangan ibu.
Selama ini pun ibu banyak membantu saya menguruskan anak kerana saya bekerja di bahagian pentadbiran di firma arkitek di Da mansara.
“Selepas ketiadaan ibu, saya ambil keputusan berhenti kerana tidak percaya meninggalkan mereka di bawah jagaan orang lain. Tambahan pula dengan keadaan Nasrullah yang sering mengalami kebiru-biruan pada tubuhnya dan masih lemah.
“Bagi menyara keluarga, saya menyambung perniagaan makanan yang diusahakan arwah ibu bersama adik bongsu. Kami kemudian berpindah rumah pada hujung 2005 apabila arwah bapa ambil keputusan meninggalkan kuarters itu,” katanya.
Kelangsungan hidupnya bersama anak diteruskan di Pandan Jaya dengan menyewa rumah pangsa tingkat bawah. Mujur bekas suaminya bersedia memberi nafkah untuk anak pada jumlah RM600.
“Sewa rumah saja RM600 jadi wang nafkah yang diberikan bekas suami itu hanya cukup untuk membayar sewa.
“Untuk perbelanjaan lain, saya berusaha mencari duit lebih dengan berniaga di tapak gerai VIOBA (Persatuan Bekas Pelajar Victoria Institution Kuala Lumpur) di Jalan Hang Tuah memandangkan adik pernah belajar di sekolah itu.
“Seawal jam 5.30 pagi, saya sudah keluar untuk buka gerai dan membawa sekali anak. Walaupun payah, saya terpaksa melakukannya kerana anak berhak mendapatkan kehidupan yang terbaik.
“Tapi perniagaan itu tak bertahan lama kerana saya lebih banyak memberikan tumpuan kepada anak.
“Akhirnya, saya dan adik berhenti berniaga lalu saya cuba lakukan kerja sampingan seperti membantu ibu saudara memasak untuk katering bagi membiayai persekolahan dan perubatan mereka.
“Jadi pendapatan saya kini bergantung kepada kerja yang dilakukan. Kalau dalam sehari saya dapat RM30, itu sudah cukup sebagai rezeki kami untuk hari itu,” ujarnya.
Dengan pendapatan yang tidak menentu, ibu tunggal itu menerima bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM500 sebulan yang banyak digunakan untuk perubatan dan sesi fisioterapi Nasrullah.
Dari Pandan Jaya, Marini sekeluarga seterusnya berpindah ke rumah pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pantai Dalam.
“Semuanya hasil bantuan banyak pihak. Alhamdulillah, laluan saya dipermudahkan dan kami mula menetap di perumahan DBKL ini sejak 2008. Secara tak langsung ka wasan ini lebih hampir dengan sekolah anak-anak kerana Nasrullah ditempatkan di Sekolah Khas Bukit Bandaraya, manakala Fakhrullah serta Safwan di sekolah berhampiran.
“Selepas menghantar Safwan dan Fakhrullah, saya akan hantar pula Nasrullah dan menunggunya sehingga tamat sekolah.
“Itu cara untuk menjimatkan kos pengangkutan kami dan pada masa sama, saya sentiasa berada berhampiran de ngannya jika apa-apa berlaku,” katanya.
Mengulas mengenai rawatan anak kembarnya, Marini kini membawa Nasrullah menjalani fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur sekerap yang mungkin selepas doktor mengatakan anaknya berpeluang pulih jika diberi latihan pergerakan serta fisioterapi secara konsisten.
“Saya langsung tidak membawa Nasrullah dan Fakhrullah jalani pemeriksaan dan rawatan sejak mereka bayi hingga berusia lima tahun kerana masalah kewangan. Selama ini saya sendiri yang merawat mereka.
“Sejak 2007 barulah saya cuba bawa mereka jumpa doktor, tapi tidak secara berkala kerana ketiadaan wang. Malah doktor terkejut apabila melihatkan mereka tidak mengalami masalah tumbesaran dan sudah boleh hidup cergas seperti kanak-kanak lain.
“Saya juga cuba biasakan dia dengan berjalan tanpa tongkat. Saya minta gurunya gesa dia menaiki tangga di sekolah sehingga ke tingkat tiga tanpa bantuan tongkat. Kalau dia jatuh, saya suruh dia bangun sendiri, tak boleh terlalu dimanjakan.
“Sedih juga melihatnya kerana dia seperti terseksa untuk berjalan tanpa bantuan. Tapi itulah cara terbaik untuk membolehkannya berpeluang hidup secara normal.
“Sampai bila dia perlu bergantung kepada saya? Saya sentiasa berdoa dipanjangkan usia ini untuk membantu anak hingga mereka sudah mampu menguruskan diri sendiri.
“Dia kini secara perlahan-lahan sudah boleh menguruskan diri sendiri. Itu yang paling penting. Selain fisioterapi, Baitulmal turut membekalkan enam tin susu sebulan untuk membantu menguatkan tulangnya. Ia mesti diambil sampai dia berusia 10 tahun.
“Alhamdulillah bekas suami juga sudah mula ingat pada anak. Dia kini kerap memberi nafkah saraan mereka. Bagi saya, apa yang berlaku dulu sudah tersurat dan segala kesusahan yang berlaku dulu dan kini adalah ujian Allah.
“Dulu sering juga saya rasa malu kerana ada anak yang kurang upaya. Keadaan lebih buruk apabila masyarakat juga mencemuh dan memencilkan anak hanya kerana mereka kurang upaya.
“Tapi saya berusaha kembalikan semangat demi anak. Saya kini lebih positif dan lebih mementingkan masa depan mereka.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak yang banyak memberikan semangat dan membantu mempermudahkan hidup kami anak-beranak ketika kesempitan.
“Setiap kali terlintas di fikiran untuk mengeluh dengan kesusahan ini, saya segera fikirkan mengenai orang lain yang hidup lebih susah daripada kami. Itu juga yang sering saya tekankan pada anak-anak,” katanya.
Sayu rasanya hatiku tatkala membaca artikel ini...betapa kejamnye lelaki yg bernama suami disini....sggup meningglkan isteri diwaktu sang isteri amat memerlukan sokongannya..kpd wanita di luar sana, marilah kita mengambil pengajaran dr kisah ini..bt saudari Marini.. kuatkan semangatmu..Sesungguhnya Allah sentiasa ada untuk hambaNya...
No comments:
Post a Comment